0

Kerajaan Kaji Kontrak Perkhidmatan Kakitangan JASA

Posted by MALAYsian on 5:33 PM

ALOR GAJAH: Kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula status kontrak pegawai perkhidmatan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Jasa (JASA) daripada tempoh setahun kepada dua tahun, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain itu kerajaan juga akan mempertimbangkan keperluan untuk menetapkan elaun bulanan RM300 kepada kakitangan kontrak JASA yang bersara selepas berkhidmat lebih 15 tahun, tetapi tidak menerima kelayakan bersara.

"Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan dan peranan pegawai dan kakitangan JASA kerana merekalah yang banyak menyumbang kepada kekuatan kerajaan yang memerintah hari ini.

"Bagaimanapun, bagi menyokong semua cadangan Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mereka perlulah mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang mengenai tuntutan kakitangan kontrak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan JASA 2017 di Kem Permata Resort, Ayer Paabas, di sini, malam ini.

Konvensyen tiga hari bertemakan 'Ke Arah Memenangi Majoriti 2/3 Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)' itu disertai seramai 942 warga JASA di seluruh negara.

Antara program yang diadakan, termasuk sesi dialog bersama wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan wakil Kementerian Kewangan mengenai status pelantikan tetap dan kontrak, kemajuan kerjaya dan kebajikan pegawai semasa dan selepas perkhidmatan.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Mohd Puad.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan kakitangan dan pegawai JASA tidak terus selesa dibuai mimpi dengan kemenangan besar dicapai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) 2004 yang lalu.

Sebaliknya, beliau mahu mereka terus membantu kerajaan BN memperkuatkan jentera parti seterusnya memenangi PRU-14 yang bakal diumumkan pada bila-bila masa.

"Pada PRU-11, kita mencapai kemenangan besar ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga berlakulah istilah disebut 'ghanimah' iaitu merebut harta rampasan perang.

"Kita sebenarnya terlupa itu semua adalah ujian daripada Allah SWT. Justeru, saya meminta kakitangan JASA serta semua pemimpin BN supaya mengambil iktibar yang kita pernah terpukul sebanyak dua kali iaitu pada PRU-12 dan PRU-13," katanya.


0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.