0

BANDAR MALAYSIA. PEMBATALAN PERJANJIAN WAJAR DILIHAT DARI SUDUT PERNIAGAAN BUKAN POLITIK

Posted by MALAYsian on 1:14 AM

1. Seperti biasa pihak Pembangkang akan memutar belit apa sahaja isu di depan mereka. Ini termasuk pengumuman pembatalan perjanjian di antara TRX City dengan syarikat usahasama milik Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering (M) Sdn Bhd (“CREC”). Sepatutnya pembatalan tersebut disambut baik oleh ramai pihak termasuk pembangkang.

2. Jika pembangkang ikhlas dan mahukan kebaikan kepada negara, maka pembangkang sepatutnya melihat pembatalan ini dari sudut urusan perniagaan di antara dua buah syarikat dan bukan mempolitikkannya. Lebih-lebih lagi jika TRX City membatalkan perjanjian ini selepas konsortium IWH-CREC gagal memenuhi syarat perjanjian selepas tarikh akhir dilanjutkan berkali-kali.

3. Perjanjian ini telah dimeterai pada Januari 2016 dan amat melampau jika selepas 16 bulan dan beberapa kali tempoh dilanjutkan, soal jaminan bank masih belum dapat diselelesaikan. Walaupun kerajaan Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan China, namun syarikat perlu bersikap profesional dan bertindak berdasarkan perjanjian yang telah dibuat.

4. Perjanjian yang termetrai adalah Perjanjian Penjualan SAHAM Pembangunan Bandar Malaysia. Bagaimanapun pemimpin pembangkang cuba berbohong dengan mengatakan ia adalah perjanjian penjualan TANAH 100% kepada pihak asing. Hakikatnya ia hanya penjualan saham dan nilai pegangan asing (syarikat China) selepas penjualan saham ini hanyalah 24%. BAKI 76% ekuiti pembangunan Bandar Malaysia masih dipegang oleh kerajaan dan syarikat tempatan.

5. Jika diimbas kembali, perjanjian ini dimeterai selepas melalui proses tender antarabangsa yang dijalankan oleh penasihat bebas. Pemilihan dibuat selepas Lembaga Pengarah 1MDB dan Jawatankuasa Khas Kementerian Kewangan meneliti cadangan usaha sama daripada lebih 40 pihak dalam dan luar negara. Dari 40 cadangan ini, 4 telah disenarai pendek dan 2 telah membuat tawaran muktamad. Maksudnya, bukan hanya satu pihak yang berminat untuk membangunkan Bandar Malaysia, tetapi 40. Bila-bila masa sahaja sebenarnya kerajaan boleh memilih pihak lain yang layak sekiranya konsortium IWH-CREC tidak bersungguh-sungguh atau tidak berkeupayaan untuk terlibat.

6. Hari ini, selepas 16 bulan perjanjian jual beli saham, nilai Bandar Malaysia jauh lebih tinggi berbanding RM10.35 bilion semasa perjanjian ditandatangani. Selain peningkatan harga tanah di Kuala Lumpur, kenaikan nilai ini juga antara lain adalah kerana, pertama, semakin banyak perkembangan telah mengambil tempat seperti termetrainya perjanjian dua hala Malaysia dan Singapura bagi pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pada bulan Disember 2016 dan penempatan semula serta pembangunan 8 tapak kemudahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang hampir siap. Kedua, kemelut yang dihadapi 1MDB juga sudah banyak yang selesai, termasuk pengurangan hutang secara drastik melalui penjualan Edra Energy dan penyelesaian secara baik pertikaian dengan IPIC.

7. Dari segi komitmen pembayaran bon berkaitan Bandar Malaysia yang hanya akan matang pada tahun 2023, 1MDB masih mempunyai masa untuk mencari rakan usaha sama yang baharu. Selain syarikat dari China, masih terdapat syarikat-syarikat berpotensi dari Arab Saudi, India dan Australia yang boleh dipertimbangkan. Tiada sebab untuk pelanggan bon Bandar Malaysia menjadi panik kerana opsyen masih terbuka luas.

8. Pada waktu yang sama, memandangkan Bandar Malaysia telah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan terdapat semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat dan pembangkang agar Bandar Malaysia dibangunkan sendiri oleh rakyat tempatan, maka tidak salah jika peluang ini turut dibuka kepada usahawan-usahawan tempatan yang berkelayakan dan berkemampuan.

9. Atau, memandangkan nilai Bandar Malaysia begitu tinggi, iaitu dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM155 bilion dan bakal menjadi pemangkin pembangunan Koridor Selatan, maka tidak menjadi kesalahan sekiranya rakyat Malaysia mengambil peluang untuk terlibat dalam pembangunan Bandar Malaysia melalui dana dari KWSP, KWAP, LTAT, Khazanah atau Tabung Haji.

10. Saya percaya pembangkang akan bersetuju dan menyokong saranan ini memandangkan ia merupakan peluang bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia untuk terlibat sama dan bakal memberikan pulangan tinggi kepada mereka pada masa hadapan.

MT UMNO

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.