0

Misi Untuk Rakyat Tetap Diteruskan

Posted by MALAYsian on 5:33 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap komited melaksanakan misi yang telah direncanakan sebagaimana hasrat segenap lapisan rakyat yang memungkinkan pengakhiran sempurna sekiranya ia mampu dimanfaatkan dengan lancar.

Selaras dengan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Haji Ahmad Maslan menegaskan bahawa hanya UMNO dan BN yang benar-benar mampu membangunkan negara dengan rakyat menjadi tunjang utama.

“Rakyat dan pemimpin turut sama mendukung aspirasi bagi membentuk satu kesatuan atas hasrat kebersamaan antara kerajaan dan masyarakat, mencakupi kepelbagaian kaum, pelbagai bangsa dan perbezaan agama tetapi atas satu kerukunan, impian untuk satu tujuan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya yang bertajuk ‘1Malaysia – Harapan dan Pelaksanaan’ sempena dengan Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010, yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Grand Season, di sini.

Katanya lagi, tidak dapat dinafikan bahawa untuk mencapai apa yang dicita-citakan bukanlah perkara yang mudah tetapi dengan berlandaskan kepada prinsip, hala tuju dan kaedah yang betul maka tentunya banyak halangan dan cabaran akan dapat direntasi.

Dalam kesempatan tersebut juga, beliau turut menerangkan berkaitan dengan Program Juara Rakyat yang menjadi salah satu platform bagi BN mendekati masyarakat dalam semua aspek.

“Sesungguhnya program ini merujuk kepada hasrat untuk menjuarai kehidupan rakyat, menjuarai pembelaan rakyat, menjadi johan dalam membangun rakyat dan sentiasa berada di barisan hadapan untuk rakyat,” terangnya.

Dengan kata lain, katanya lagi, menerusi program ini akan meletakkan kita berada nombor satu di hati rakyat dengan rakyat juga sentiasa berada di tempat utama dalam perjuangan.

“Perlu difahami bahawa dalam mencapai apa yang telah digariskan, kerajaan tidak pernah mengetepikan apatah lagi untuk menidakkan impian dan cita-cita rakyat sama ada untuk memiliki, memilih atau menyuarakan hasrat yang tersirat.”

Lantaran itu, katanya lagi realiti yang dapat dilihat hari ini ialah kejayaan dicapai hasil kerja keras dan perancangan rapi BN yang diberi mandat oleh rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan lagi iaitu melalui visi dan misi jelas, terarah, berfokus dan praktikal serta dapat disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Dalam hal ini beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan tadbiran pakatan campuran di Selangor yang gagal melaksanakan kehendak rakyat tetapi hanya tahu mengaut kesenangan hasil daripada tadbiran kerajaan terdahulu iaitu BN.

“Satu Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri juga haruslah difahami dan dihayati terutamanya daripada ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin parti komponen hinggalah kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Apa yang penting adalah melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin turut diiringi sifat penuh ikhlas, berintegriti serta lebih memikirkan kepentingan rakyat daripada keuntungan peribadi,” ujar beliau lagi.

Selaras dengan itu, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan Juara Rakyat tersebut bukanlah semata-mata untuk menghadapi pilihan raya tetapi ia satu program berterusan ke arah menjalankan tanggungjawab, amanah dan keikhlasan dalam kepimpinan berkerajaan.

“Hasrat ingin menjadi juara adalah keutamaan sebagaimana gagasannya dalam persaingan memenangi hati rakyat malah jika berlaku malapetaka maka kitalah yang pertama akan datang membantu dan konsep ‘juara’ itu sendiri akan meletakkan pemimpin bekerja dengan lebih keras kerana dalam peperangan politik tidak ada naib juara.”


sumber : umno-online.com

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.