0

JASA Perlu Kukuhkan Kestabilan Politik

Posted by MALAYsian on 10:22 AM
KUALA LUMPUR 19 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) supaya memberi tumpuan bagi mengukuh dan mengekalkan kestabilan politik bagi membolehkan tercapainya gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu salah satu daripada lima isu penting yang harus ditangani bersama bagi mencapai misi jabatan berkenaan iaitu bagi meraih sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, tumpuan harus diberi bagi mewujudkan keutuhan ekonomi kerana kedua-dua perkara ini adalah saling berkait.

"Kata pepatah Barat, 'orang yang lapar akan marah' dan dalam sistem demokrasi, kemarahan ini diterjemahkan dalam bentuk undi. Oleh itu, semua rakyat harus merasakan mereka mendapat tempat sewajarnya dalam negara ini.

"Asas kepada kestabilan politik dan keutuhan ekonomi ini ialah perpaduan dan dalam hal ini, kita harus bertukar daripada sekadar toleransi kepada menerima satu sama lain sebagai sebahagian daripada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Kebangsaan Pegawai Jasa 2010 yang dihadiri pegawai berbilang kaum di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ketua Pengarah Jasa, Datuk Fuad Hassan serta kira-kira 1,000 pegawai jabatan itu.

Menurut Muhyiddin, isu kedua membabitkan usaha menjadikan kerajaan BN bukan saja sebagai pembela rakyat malah dilihat membela rakyat.

"Kita akui walaupun kerajaan BN mengambil pelbagai inisiatif dalam tempoh 50 tahun, masih ada lagi kelompok dalam masyarakat yang terpinggir daripada arus pembangunan.

"Peranan Jasa ialah menentukan tiada kelompok tersisih dan ini boleh dicapai jika kita melipatgandakan program yang dapat menyentuh hati rakyat dan memberi impak besar kepada mereka seperti aktiviti pembangunan komuniti," katanya.

Menurut beliau, isu ketiga membabitkan langkah mengekang tindakan pihak pembangkang yang menjadikan kerajaan sebagai sasaran fitnah dan putar-belit.

"Saya mahu pegawai Jasa berperanan mengembalikan semula sokongan rakyat dengan menyebarluaskan maklumat yang tepat, berkualiti dan relevan melalui proses komunikasi bersemuka, konvensional dan media sosial," katanya.

Dalam pada itu katanya, isu keempat membabitkan usaha membolehkan kerajaan BN mengotakan janjinya kepada rakyat supaya dapat dilihat sebagai pemerintah yang berintegriti tinggi.

Tambah beliau, isu kelima membabitkan langkah mendampingi generasi muda yang mempunyai pemikiran yang berbeza apabila mereka kini membicarakan tentang hak asasi manusia serta ketelusan dalam kerajaan.

Golongan muda, katanya, bukan lagi mempersoalkan tentang isu-isu seperti mendapatkan bekalan air dan jalan raya yang sempurna.

"Untuk menghadapi golongan muda, Jasa harus berubah secara menyeluruh ke atas pendekatan bagi membolehkan ia menarik sokongan generasi muda yang bakal menjadi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya juga mahu Jasa meletakkan sasaran untuk bekerja kuat dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memastikan usaha meraih sokongan ini dapat dicapai dengan jayanya," katanya.


UTUSAN MALAYSIA - 20/01/2010


0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.