0

KENAPA SAYA TAWAR DIRI UNTUK BERDEBAT DENGAN TUN M DI FORUM NOTHING TO HIDE 2.0

Posted by MALAYsian on 10:41 PM

1. Seperti yang dijangkakan ada pihak yang mempersoalkan apa kelayakan saya apabila menawarkan diri untuk berdebat dengan Tun M dalam forum Nothing To Hide 2.0 jika beliau serius mahu mencari kebenaran.

2. Kalau begitu apa kelayakan orang di sebelah sana termasuk Tun M dan TS Muhyiddin yang hanya cut and paste bahan dari sumber meragukan apabila mengkritik isu 1MDB? Kebanyakan mereka ini hanya menggunakan cerita fitnah yang disebarkan oleh Sarawak Report dan ASWJ. Tidak ada sebarang dokumen yang dikemukakan oleh pihak ini apabila menyebarkan fitnah mereka. Apatah lagi hingga ke hari ini tidak ada sebarang perbicaraan di Mahkamah dalam atau luar negara "khusus" terhadap 1MDB sendiri.

3. Pada saya Tun M tidak wajar menolak tawaran saya untuk berdebat kerana saya pun banyak soalan untuk ditanyakan kepada beliau yang membabitkan kes semasa 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Apatah lagi forum ini sendiri namanya "Nothing To Hide 2.0".

4. Sebenarnya beliau tidak perlu berdebat dengan Perdana Menteri walaupun mendakwa dia adalah Top Dog yang setaraf dengan DS Najib. Pada saya beliau hanyalah Pengerusi biasa yang tidak ada kuasa berbanding Presiden dan Ketua Umum Pakatan Harapan. Justeru Tun M tidak perlu merasa tarafnya menjadi rendah jika berdebat dengan ahli Majlis Tertinggi UMNO seperti saya.

5. Tetapi saya ragu Tun Mahathir bersedia untuk berdebat dengan saya. Saya yakin Tun Mahathir bukan serius untuk mencari kebenaran tetapi mahu menjadikan debat itu sebagai medan untuk menimbulkan kekecohan yang boleh memalukan Perdana Menteri di khalayak ramai.

6. Inilah yang berlaku di dalam Townhall Nothing To Hide 1.0 di PWTC. Walaupun tidak dijemput dan dinasihatkan jangan datang kerana itu adalah dialog di antara Perdana Menteri dengan rakyat tetapi Tun Mahathir tanpa segan silu hadir juga.

7. Dan apabila dimaklumkan Townhall itu dibatalkan sepatutnya Tun Mahathir pulang. Tetapi Tun Mahathir terus masuk ke dalam Dewan dan pengikutnya merempuh masuk dengan kasar sehingga ada orang ramai yang terjatuh. Motif Tun M datang tanpa dijemput itu terdedah dengan tindakan kasar tersebut.

8. Tanpa kebenaran pihak penganjur Tun Mahathir naik atas pentas dan berucap sehinggalah OCPD Kuala Lumpur menghentikan ucapan Tun.

9. Di situ jelas membuktikan Tun Mahathir bukan mahu berforum tetapi menimbulkan kekecohan untuk memalukan Perdana Menteri.

10. Sekali lagi saya mengajak Tun Mahathir agar mengenepikan egonya mengenai siapa yang layak untuk berdebat dengan beliau. Saya mengajak Tun M sama sama mencipta sejarah, iaitu berlaku perdebatan antara bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dengan seorang rakyat yang yakin semua tuduhan terhadap 1MDB hanyalah fitnah dan kambing hitam untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Mohd Puad Zarkashi


0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.