0
Projek Mega RM311.4j di Kuala Perlis
Posted by MALAYsian
on
12:28 AM
KANGAR 6 Feb. - Pembangunan projek mega pertama di negeri ini bernilai RM311.4 juta, melibatkan usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Tabung Haji Properties Sdn. Bhd. (THP) di Kuala Perlis dekat sini, bakal mengubah wajah bandar maritim itu tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, projek itu melibatkan pembinaan bangunan berkembar pangsapuri servis setinggi 36 tingkat yang setiap satunya mempunyai 200 unit kediaman.
Katanya, selain itu, sebuah hotel tiga bintang setinggi 24 tingkat dengan 200 bilik, rumah kedai tiga tingkat dan pusat beli-belah setinggi dua tingkat juga akan dibina.
Tambah beliau, projek pembangunan bercampur itu akan melibatkan kawasan seluas 6.5 hektar yang bakal dibangunkan dalam lima fasa dengan mengambil masa antara lima hingga tujuh tahun.
“Rakyat negeri ini dijangka mendapat manfaat apabila sebanyak 1,300 peluang pekerjaan bakal disediakan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Bercampur Secara Usahasama oleh Kumpulan THP dan PKENPs di Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan THP, Datuk Azizan Abd. Rahman dan Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim.
Azlan berkata, kerajaan negeri mengutamakan projek-projek bernilai tinggi di negeri ini supaya dapat memberi manfaat kepada seluruh penduduk dan ekonomi negeri.
“Rundingan bersama THP telah dilakukan sejak 2014 lagi. Kelebihan yang ada di Kuala Perlis adalah ia sebagai pintu masuk ke Pulau Langkawi, Kedah dan pusat makanan laut,” katanya.
Kata beliau, pada tahun lalu sahaja sebanyak 2.28 juta pelancong menggunakan Terminal Feri di Kuala Perlis untuk ke Langkawi.
Post a Comment