0

TIMBANG SEBELUM PILIH TEMPOH PAJAKAN - MB PERLIS

Posted by MALAYsian on 8:25 PM

PADANG BESAR 5 Sept. - Kerajaan negeri menasihatkan penerima surat kelulusan pemberimilikan tanah kerajaan supaya membuat pertimbangan tepat semasa membuat pemilihan tempoh pajakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, ini memandangkan penerima ini diberikan peluang untuk memilih pajakan selama 30, 60 atau 99 tahun.

“Buat keputusan sewajarnya dengan mengikut kemampuan masing-masing bagi kemudahan membuat bayaran nanti,” katanya selepas majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Perlis di Dewan Seri Melati di Beseri, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis, Mawar Omar.

Sebanyak 172 menerima surat berkenaan yang melibatkan kawasan Chuping sebanyak 79 orang, Beseri (21), Kurung Anai (18) dan selebihnya dari beberapa kawasan lain di negeri ini.

Azlan berkata, setiap pe­nerima surat kelulusan pemberimilikan tanah ini perlu faham bahawa jika memilih pajakan selama 99 tahun maka bayarannya lebih tinggi berbanding dengan pajakan selama 30 tahun.

“Jangan salahkan kerajaan pula jika tanah akan dirampas jika gagal membayar mengikut tempoh yang telah kita tetapkan,” katanya.

Azlan berkata, penerima surat kelulusan pemberimilikan tanah ini bernasib baik kerana akhirnya selepas 10 tahun, permohonan mereka diterima.

“Kita memberikan kelebihan bagi yang sudah memohon 10 tahun ke atas kerana sehingga kini lebih 2,000 permohonan sedang diproses,” katanya.




0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.