0

Bekas Exco Perlis Letak Jawatan ADUN Titi Tinggi

Posted by MALAYsian on 7:10 PM
KANGAR 23 Mac - Naib Pengerusi MCA Perlis, Yip Sun Onn meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Titi Tinggi semalam. Surat peletakan jawatan itu diserahkan sendiri oleh Sun Onn kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Yazid Mat.

Yazid ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan mengakui terkejut dengan tindakan ADUN Titi Tinggi di kawasan Parlimen Padang Besar itu.

"ADUN Titi Tinggi menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada saya kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Namun, saya cuma menerima surat tersebut tetapi menolak peletakan jawatan berkenaan.

"Jika Sun Onn bertegas kepada keputusan yang diambil, saya akan merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu pula ketika dihubungi turut terkejut dengan tindakan wakil rakyat tersebut kerana ia berlaku diluar jangka tanpa mengetahui puncanya.

"Saya tidak tahu apa sebab beliau berbuat demikian. Saya meminta Sun Onn menarik balik tindakan itu. Barisan Nasional (BN) tidak bermasalah dengan Sun Onn.

"Saya akan bertemu dengannya secepat mungkin dan percaya beliau akan menarik balik keputusan yang dibuatnya semalam itu," ujarnya.

Ditanya kemungkinan tindakan Sun Onn itu ada kaitan dengan beliau tidak dikekalkan dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk penggal 2010-2011, Md. Isa percaya ia tiada kaitan dengan perkara itu.

"Kerusi Exco bagi Sun Onn yang digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor dibuat menerusi sistem penggiliran berpandukan kehendak MCA sendiri," tegasnya.

Pada 19 Mac lepas, tujuh Exco Perlis mengekalkan jawatan masing-masing, manakala seorang muka baru dilantik pada majlis angkat sumpah Exco untuk penggal 2010-2011 di Istana Arau di sini.

Choo Chor menggantikan Sun Onn sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pertumbuhan Bandar Baru negeri.

Sementara itu, Sun Onn meminta semua pihak bertenang berikutan tindakannya meletak jawatan ADUN Titi Tinggi.

Beliau turut menyeru semua pihak tidak membuat bantahan berhubung isu pelantikan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) yang diadakan pada Jumaat lalu.

"Saya berharap semua pengundi di Titi Tinggi dan rakan-rakan UMNO, MCA dan MIC serta penyokong di seluruh Perlis supaya bersabar, bertenang dan jangan membuat sebarang majlis bantahan mengenai isu pelantikan Exco," katanya.

Beliau berkata demikian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada para pemberita di sini hari ini.

Difahamkan Sun Onn kini berada di Ipoh, Perak.

Beliau turut memberitahu bahawa sebarang cadangan daripada pemimpin-pemimpin MCA Pusat mengenai tindakannya itu tidak dapat diberi pertimbangan.

"Saya tidak dapat memberi pertimbangan sekarang kerana khuatir akan menjadi topik untuk kempen pemilihan parti MCA," katanya.

Namun Sun Onn juga berjanji akan tetap bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu mencari kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

"Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pemuda UMNO kerana semangat Barisan Nasional (BN) dan setiakawan serta masih tetap bersama-sama saya ketika saat genting ini," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 BERJASALAH PADA RAKYAT All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.