0
Perlis Masih Dingin
Posted by MALAYsian
on
12:00 AM
ARAU 14 Jan. - Fenomena cuaca sejuk masih dirasai di seluruh Perlis dengan penurunan suhu direkodkan mencecah 22 darjah Celsius pada waktu pagi dan suasana dinginnya dapat dirasai sepanjang hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini dan Kangar mendapati keadaan cuaca sejuk berangin dan berkabus selain hujan renyai-renyai menyebabkan rata-rata penduduk memakai baju sejuk.
Seorang penduduk, Fauzi Mustafa, 34, yang menetap di Kampung Belat Batu di sini berkata, cuaca sejuk dirasakan hingga ke tulang pada awal pagi sejak beberapa hari lalu menyebabkan dia terpaksa memanaskan air untuk mandi.
Katanya, dia juga terpaksa memakai baju sejuk tebal ketika keluar rumah terutama pada waktu pagi dan malam.
Bagaimanapun ujarnya, dia cukup teruja dengan suasana begini memandang Perlis sebelum ini boleh dikatakan agak panas.
“Pada sebelah malam, saya terpaksa menggunakan selimut tebal dan lebih selesa tidak membuka kipas ketika tidur. Suasana nyaman dan dingin pada ketika ini agak sukar dirasai sebelum ini, dan saya sangat menikmatinya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu di KUALA LUMPUR, Jabatan Meteorologi memaklumkan, fenomena cuaca sejuk yang melanda beberapa bandar termasuk di Arau, Perlis; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Kuala Krai, Kelantan dan beberapa kawasan lain dijangka kembali normal dengan bacaan asal mulai esok.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, ini berikutan perubahan cuaca berlaku akibat tiupan angin timur laut kencang dari China yang sedang mengalami musim sejuk.
“Untuk tempoh dua hingga tiga hari ini, keadaan sejuk disebabkan litupan awan kurang di seluruh Semenanjung Malaysia yang turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, cuaca sejuk ini hanya bersifat sementara dan tiada kaitan secara langsung dengan penurunan salji di negara ini serta berharap orang ramai tidak mempercayai maklumat yang disebarkan melalui media sosial sewenang-wenangnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suhu hari ini mencatatkan bacaan 28 darjah Celsius dan pihaknya meramalkan fenomena cuaca sejuk itu akan berakhir esok dan kembali normal.
Dalam masa sama, keadaan cuaca di dua buah negeri iaitu Pahang dan Johor bertambah baik dan tiada jangkaan hujan lebat berterusan akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Sumber : UTUSAN MALAYSIA
Post a Comment