KANGAR 3 Nov. - Tiga unit kompresor pendingin hawa di rumah Kelab Media Perlis (Kemps) menjadi sasaran pencuri mengakibatkan kerugian kira-kira RM1,500.
Kejadian disedari Presiden Kemps, Shahidi Shahidan ketika datang ke rumah itu pada pukul 1 petang semalam.
“Saya datang untuk bermesyuarat bersama wakil Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi satu program melibatkan kelab sebelum menyedari kehilangan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kangar di sini semalam.
Shahidi memberitahu, kejadian itu mungkin sudah lama berlaku iaitu lebih seminggu lalu tetapi baru disedari hari ini.
“Keadaan rumah kelab yang sunyi sejak kebelakangan ini telah menyebabkan pencuri mengambil kesempatan,” katanya.
Ketua Polis daerah, Superintenden Abdul Rahman Mohd. Noordin ketika ditemui mengesahkan menerima laporan itu.
UTUSAN ONLINE